KUALA LUMPUR,18 Mac- Gandingan beregu lelaki muda negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri merangkul gelaran pertama musim ini pada kejohanan badminton Orleans Masters 2024 di Perancis, semalam.
Hon Jian-Haikal yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan menewaskan pilihan keenam dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam aksi tiga set 21-15, 18-21, 21-14 pada perlawanan akhir selama 54 minit di Palais des sports, Orleans.
Selaku juara, beregu negara yang menghuni ranking ke-40 dunia dan mula digandingkan pada Ogos tahun lalu itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 manakala beregu Indonesia itu menerima AS$7,980 pada kejohanan berstatus Super 300.
Ini adalah gelaran pertama buat Haikal-Hon Jian dalam Jelajah Dunia BWF musim ini dan yang ketiga keseluruhan sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu.
Mereka sebelum ini turut menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada Disember tahun lalu sebelum menutup tirai 2023 dengan satu lagi kejayaan di Masters Guwahati (Super 100) Disember lalu.
Haikal pernah melangkah ke final Orleans Masters pada edisi 2022 tetapi bersama Wan Arif Wan Junaidi.
Bagaimanapun, mereka terpaksa menarik diri daripada aksi final dan berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas Haikal diuji positif COVID-19.