fb fb fb fb fb

JDT mahu beraksi di Piala Dunia Kelab

Harimau Selatan kini menetapkan sasaran lebih tinggi termasuk bersaing di Piala Dunia Kelab - Foto JOHOR Southern Tigers

JOHOR BAHRU, 2 Julai - Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) ditetapkan sasaran tinggi termasuk merebut slot ke Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada satu hari nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia dalam satu kenyataan berkata, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail telah menitahkan agar Harimau Selatan memaksimumkan potensi pasukan bagi mengibarkan bendera Johor dan Malaysia lebih tinggi di persada antarabangsa baik di dalam mahupun di luar padang.

0207 SKN JDT PIALA DUNIA KELAB 5Kenyataan media Luis Garcia

Menurutnya, selaku satu-satunya wakil dari Malaysia di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sejak 2019, JDT telah menyumbangkan majoriti mata ranking dalam Ahli Gabungan (MA) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Untuk terus maju, kami bukan sahaja perlu mengekalkan prestasi tetapi menyasarkan yang lebih tinggi untuk tahun-tahun akan datang, sekali gus melonjakkan lagi bola sepak Malaysia dengan membolehkan lebih banyak kelab Malaysia layak ke pentas Asia.

"Dengan kemungkinan pengembangan bilangan penyertaan di Piala Dunia Kelab FIFA, yang akan membuka lebih banyak slot untuk pasukan-pasukan Asia yang bukan hanya terhad kepada juara ACLE, JDT meletakkan sasaran untuk mara secara konsisten ke peringkat lebih jauh agar memperbaiki ranking kelab Asia dan berada pada kedudukan lebih baik untuk mewakili Malaysia di pentas tertinggi bola sepak kelab dunia," katanya.

0207 SKN JDT PIALA DUNIA KELAB 6JDT cipta sejarah bola sepak tanah air apabila menjuarai Piala AFC pada 2015 - Foto JOHOR Southern Tigers

Tegasnya, merealisasikan sasaran itu bukanlah tugas mudah kerana standard bola sepak di Asia sangat tinggi.

"Kami tidak boleh leka sekiranya JDT mahu berjaya dalam misi yang besar ini. Pemain-pemain baharu yang kami bawa masuk untuk musim 2025-26 selari dengan hala tuju ini.

"Kejayaan JDT di peringkat Asia pastinya juga akan menjadi kejayaan untuk bola sepak Malaysia," katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK