ISKANDAR PUTERI, 17 Februari- Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) komited untuk memburu tiga mata penuh dalam aksi menentang pasukan Korea Selatan, Pohang Steelers FC menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Menurut Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio, kemenangan di halaman sendiri adalah sesuatu penting untuk mengukuhkan kelayakan ke pusingan 16 selain mempertahankan rekod cemerlang Harimau Selatan menentang kelab-kelab dari negara Korea Selatan.
"Esok akan menjadi perlawanan yang sukar. Namun kami memiliki peluang baik untuk layak. Tetapi yang paling penting adalah kemenangan dan memperoleh kedudukan terbaik dalam kumpulan. Ketika ini para pemain dalam keadaan yang baik dan kami perlu terus berusaha sebagai satu pasukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-Ha, optimis anak buahnya mampu tampil cemerlang, meskipun beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong di Stadium Sultan Ibrahim.
"Matlamat kami adalah untuk berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik. Kami ingin fokus pada perlawanan seterusnya setelah latihan pramusim yang baik. Saya percaya jika kami bermain pada tahap terbaik, kami boleh meraih kemenangan," katanya.
Dalam pada itu tiket perlawanan yang diperuntukkan untuk penyokong JDT habis dijual, pada semalam.