fb fb fb fb fb

Hannah Yeoh jumpa Azizulhasni Awang, bincang hala tuju kerjaya

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA

HULU SELANGOR, 17 Februari- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijadual bertemu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, hari ini bagi membincangkan hala tuju kerjayanya.

Pertemuan tersebut susulan perbincangan ringkas bersama Datuk Azizulhasni di Sukan Olimpik Paris 2024 serta pertemuan atlet itu dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini.

Disember lalu, Datuk Azizulhasni dilaporkan akan berbincang dengan kementerian sebelum membuat keputusan muktamad mengenai masa depannya.

"Saya tidak pasti apa yang akan dibincangkan hari ini, tetapi saya datang dengan hati terbuka kerana beliau adalah seorang atlet yang telah banyak menyumbang kepada negara.

Saya ingin melihat bagaimana kita boleh terus membantu beliau," kata Hannah kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini mengesahkan tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025, namun masih mempertimbangkan untuk kembali beraksi tanpa menetapkan tempoh tertentu.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, seramai 120 belia berisiko sedang mengikuti latihan kemahiran di Kampus MySkills tetapi kurang terdedah kepada aktiviti sukan.

"Oleh itu, MSN bersama jurulatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dan jurulatih olahraga hadir hari ini untuk mencungkil bakat mereka. Ini akan dilakukan secara berkala," tambah Hannah.

Beliau turut memperuntukkan RM50,000 pembangunan sukan di Yayasan MySkills.

Selain itu, pihaknya akan meminta bantuan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu belia di sini dari aspek program jasmani.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM