ISKANDAR PUTERI, 16 Februari- Kerajaan Johor bersama pengurusan bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov, kini dalam fasa akhir merangka draf perjanjian bagi pembukaan pusat gimnasium khusus untuk atlet seni bela diri campuran (MMA) di negeri ini.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata fasa itu melibatkan model perniagaan, untuk pengoperasian gimnasium itu.
Perbincangan turut melibatkan aspek reka bentuk pusat gimnasium itu.
"Saya pun berhubung melalui sidang media dan secara maya. Saya lihat tidak lama lagi Johor ada satu lagi fasiliti yang bertaraf antarabangsa dan dinaungi juga oleh Perbadanan Stadium Johor (PSJ).
Pastinya apabila bekas juara MMA ini berada di Asia Tenggara iaitu satu-satunya negeri yang mengambil inisiatif untuk meningkatkan kegiatan sukan seni bela diri campuran. Johor menyasarkan untuk mengembangkan lagi di rantau ini," kata Mohd Hairi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui semasa Program Hari Sarapan Pagi di Iskandar Puteri, Johor, yang menyaksikan seramai 5,000 orang menyertai acara larian sejauh tiga kilometer.
Dua lokasi telah dicadangkan bagi pembinaan pusat gymnasium itu termasuk Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC), Iskandar Puteri.