fb fb fb fb fb

Jaringan Arif Aiman 'legakan' JDT

(Pemain sayap JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi/FOTO JDT)

KOTA KINABALU, 16 November - Pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi muncul wira Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila meledak gol kemenangan pasukannya menewaskan Sabah FC 1-0 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas malam tadi.

Pertemuan itu turut berlangsung dalam suasana 'panas' selepas pengadil terpaksa melayangkan 11 kad kuning serta satu kad merah.

Jaringan tunggal itu dihasilkan pada babak pertama, sekali gus menyaksikan JDT pulang dengan bekalan tipis bagi aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.

Juara Liga Super 9 kali itu berkunjung ke Kota Kinabalu dengan misi memburu kemenangan bagi mencerahkan peluang ke final dan menebus kekecewaan muncul naib juara musim lalu.

Penyerang prolifik, Bergson Da Silva terlebih dahulu memberi amaran menerusi rembatan jarak jauh pada minit ketiga, disusuli percubaan Arif Aiman pada minit ke-15.

Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee, turut memiliki peluang pada minit ke-18, namun, tandukan pemain import Taesu Park tersasar ke palang gol.

(Arif Aiman pemain JDT/FOTO Facebook JDT)

JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-34 menerusi jaringan Arif Aiman yang bijak melepasi pertahanan Sabah sebelum melepaskan rembatan ke gawang Sang Badak.

Finalis edisi 2021 itu berpeluang menambah jaringan di babak kedua, namun sepakan penalti Bergson pada minit ke-59 gagal disempurnakan dengan baik.

Situasi panas turut tercetus beberapa kali di atas padang, sekali gus memaksa pengadil melayangkan 11 kad kuning, termasuk insiden pertahanan tengah JDT, Muhamad Feroz Baharudin diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan oleh Sabah yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 di laman sendiri.

Media Baharu