fb fb fb fb fb

Ivankovic pengendali baharu skuad bola sepak China

Ketua jurulatih China, Branko Ivankovic / Foto Reuters

HONG KONG, 25 Februari - Branko Ivankovic dinamakan sebagai Ketua jurulatih baharu China menggantikan Aleksandar Jankovic yang dipecat selepas gagal membantu skuad 'Tembok Besar' itu melepasi peringkat kumpulan Piala Asia 2023 bulan lepas.

Persekutuan Bola sepak China (CFA) mengumumkan perkara berkenaan pada Sabtu.

Ivankovic bakal mengetuai mengendalikan pasukan tersebut dalam aksi menentang Singapura pada Pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan pada 21 dan 26 Mac.

"Disebabkan kegagalan pasukan China melepasi pusingan kalah mati Piala Asia bulan lalu, secara automatiknya, kontrak di antara CFA dan Jankovic terbatal," kata CFA dalam kenyataan.

"CFA mengucapkan terima kasih atas segala kerja keras jurulatih Jankovic dan pihak pengurusan.

"CFA mengucapkan selamat maju jaya", tambah kenyataan berkenaan.

Ivankovic dilantik selepas melalui penilaian pakar selain mempunyai pengalaman memenangi kejuaraan Liga Super China pada 2010 bersama Shandong Luneng.

Jurulatih berusia 69 tahun itu turut pernah melatih Iran pada pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman dan telah memenangi kejuaraan liga di Croatia serta di Iran bersama Persepolis.

China kini menduduki tangga ketiga kumpulan C pada kelayakan Piala Dunia 2026 selepas dua perlawanan.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD