(Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam)
PETALING JAYA, 16 Februari- Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan terus berusaha bagi memastikan masalah berkaitan tunggakan gaji pemain tidak lagi berulang.
Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam walaupun masih ada kes yang berlaku, namun jumlahnya hanya sedikit.
Jelas beliau, pada 2018 sebanyak 232 kes dilaporkan, tetapi jumlahnya kini tidak lebih 13 kes.
" Maka dengan itu jelas pendekatan FAM dan juga MFL adalah untuk kita berhentikan stigma bola sepak Malaysia dengan tunggakan gaji ini selalu dan setiap tahun terjadi.
"Tiada kelab mahu perkara ini berlaku. Bukan perkara yang mudah tetapi saya rasa dengan pendekatan yang diambil oleh kelab-kelab dalam 'negotiation contract' dengan jumlah yang perlu dibayar pada setiap pemain, ia bergerak dengan lebih proaktif tahun ini," katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis pengumuman syarikat Bubble O2 sebagai penaja rasmi MFL di Hilton, Petaling Jaya.
Ujar Stuart lagi, pihaknya masih akan mengekalkan peraturan lesen untuk setiap kelab layak beraksi bagi saingan musim depan termasuk isu tunggakan gaji pemain.
Dalam perkembangan lain, Stuart menjelaskan keputusan FAM tidak menghantar Skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan ke Sukan Asia 2022 di China tidak menjejaskan jadual Liga Super musim ini.
Sebaliknya, perubahan itu hanya akan memberi kesan kepada saingan Piala MFL.
"Skuad 'asian game' adalah skuad bawah umur dan itu akan ada impak kepada kalendar Piala MFL, jadi pada masa ini tiada perubahan kita akan kekal kalendar seperti biasa dan kita akan laksanakan jadual seperti yang sudah kita maklum sebelum ini," katanya.
(Stuart (kiri sekali) pada Majlis pengumuman syarikat Bubble O2 sebagai penaja rasmi MFL di Petaling Jaya)