KUALA LUMPUR, 12 November- Isu kontroversi berkaitan pelantikan semula Datuk Karim Ibrahim sebagai Presiden Olahraga Malaysia akan diselesaikan segera supaya tidak menjejaskan fokus dan kebajikan atlet olahraga negara menjelang Sukan SEA 2025.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Pejabat Pesuruhjaya Sukan telah menerima aduan mengenai perkara tersebut dan siasatan awal sedang giat dijalankan.
Tegasnya, pentadbiran persatuan sukan yang baik amat penting bagi memastikan kebajikan atlet tidak terjejas, sekali gus membolehkan pembangunan sukan dilaksanakan tanpa gangguan daripada isu-isu pentadbiran.
"Aduan dan perbezaan pendapat yang membawa kepada konflik, menjejaskan usaha pembangunan sukan. Kami mempunyai contoh persatuan sukan yang berhadapan dengan pembekuan akaun akibat kes mahkamah, seterusnya menyukarkan pembayaran gaji kepada tenaga pakar dan pegawai teknikal."
"Situasi ini secara serius membebankan persatuan dan merencatkan kemajuan sukan berkenaan,” jelas Hannah ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kompleks Sukan di Sekolah Antarabangsa Gardens, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan strategik sukan olahraga dalam temasya sukan.
Ini kerana olahraga sering menyumbang jumlah pingat tertinggi berbanding disiplin sukan lain.
Jun lalu, Datuk Karim Ibrahim kembali menerajui Olahraga Malaysia (MA) selepas enam tahun selepas enam tahun apabila dipilih sebagai presiden baharu bagi penggal 2025 hingga 2028.