fb fb fb fb fb

Yamal dikeluarkan dari skuad kebangsaan Sepanyol, akibat faktor kesihatan

Lamine Yamal/REUTERS

MADRID, 12 November- Pemain sayap muda Sepanyol, Lamine Yamal dilepaskan daripada skuad kebangsaan pada Selasa (11 November) menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Georgia dan Turkiye susulan menerima rawatan kecederaan di bahagian pangkal paha.

Keputusan itu sekali gus mencetuskan kritikan daripada Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Menurut RFEF, pemain berusia 18 tahun itu telah terlepas lima perlawanan bersama Barcelona dalam saingan LaLiga akibat kecederaan sama dan menjalani rawatan menggunakan kaedah frekuensi radio pada Isnin, ketika kem latihan skuad kebangsaan baru sahaja bermula.

“Prosedur ini dilakukan tanpa sebarang pemakluman awal kepada pasukan perubatan skuad kebangsaan. Mereka hanya dimaklumkan melalui laporan yang diterima pada pukul 10.40 malam semalam, yang menyatakan saranan rehat selama tujuh hingga 10 hari,” kata RFEF dalam kenyataan rasmi.

“Berdasarkan situasi ini serta mengambil kira kesihatan serta keselamatan pemain, RFEF mengambil keputusan untuk melepaskan pemain tersebut daripada skuad semasa,” tambah kenyataan itu.

Pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente mengakui keadaan itu amat luar biasa dan tidak pernah dialaminya sebelum ini.

“Perkara seperti ini berlaku di luar kawalan persekutuan. Ya, kami terpaksa menerimanya, tetapi saya fikir ia bukan sesuatu yang normal."

"Sudah tentu saya terkejut, apabila kami tidak dimaklumkan dan hanya tahu selepas laporan diterima, apatah lagi apabila melibatkan isu kesihatan pemain," katanya kepada Radio Nacional de España (RNE).

Yamal, yang telah membuat 23 penampilan antarabangsa, menjaringkan enam gol dan mencipta enam bantuan gol dalam 11 perlawanan musim ini bersama Barcelona.

Sepanyol kini mendahului Kumpulan E dengan 12 mata daripada empat perlawanan, menjaringkan 15 gol tanpa bolos.

Mereka akan menentang Georgia di Tbilisi pada Sabtu sebelum melayan kunjungan Turkiye di Seville pada Selasa. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM