fb fb fb fb fb

Kumamoto Masters: Pearly–Thinaah mara ke pusingan kedua

Pearly Tan (kanan) dan M. Thinaah/Foto AFP

KUALA LUMPUR, 12 November – Beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah mempamerkan aksi bertenaga apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Mikoto Aiso–Momoha Niimi, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Kumamoto Masters 2025 di Jepun hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Kumamoto Prefectural Gymnasium, pasangan negara yang kini menghuni ranking kedua dunia bermula agak perlahan apabila tewas pada set pertama 18–21.

Namun, Pearly–Thinaah segera bangkit di set kedua dengan corak permainan lebih agresif untuk mencatat kemenangan meyakinkan 21–9, sebelum menamatkan set penentuan dengan keputusan 21–17 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas pertarungan selama 53 minit.

Pasangan negara itu akan berdepan sama ada Moe Aoki–An Uesugi dari Jepun atau Jeong Na Eun–Lee Yeon Woo dari Korea Selatan pada aksi esok.

Sementara itu, dalam acara beregu campuran, pasangan profesional negara Jimmy Wong–Lai Pei Jing turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Taiwan, Lu Ming Che–Hung En Tzu, dengan kemenangan straight set 21–19, 21–15 dalam masa 32 minit.

Namun, satu lagi pasangan campuran negara, Wong Tien Ci–Lim Chiew Sien, terpaksa akur apabila tewas kepada pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng–Jheng Yu Chieh, 15–21, 16–21 pada pusingan pertama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN