PUTRAJAYA, 16 JUN - Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS) menyeru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, supaya segera mengambil tindakan terhadap isu pengambilan kepimpinan baharu yang tidak sah dalam persatuan ini, yang berlangsung pada 3 Mei lalu.
Naib Presiden PPPS, Paul Lee Kok Sun berkata, rayuan itu dibuat berikutan kegagalan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) memberikan sebarang maklum balas, walaupun aduan rasmi telah dikemukakan beberapa kali sejak 7 Mei lalu.
"Sejak aduan rasmi dikemukakan kepada pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) pada 7 Mei, pihak kami, Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS), telah mengambil tujuh tindakan susulan, termasuk penghantaran e-mel, penyerahan surat secara fizikal (hardcopy), serta mengadakan sidang media tergempar pada 3 Jun.
Namun sehingga hari ini, masih tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada pihak yang bertanggungjawab", katanya pada sidang media Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu Paul turut mendakwa Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) telah mengiktiraf kepimpinan baharu yang tidak sah, manakala Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia meluluskan pendaftaran mereka tanpa siasatan terperinci dan bercanggah dengan proses sah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
Tambah beliau, PPPS akan mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kemungkinan salah guna kuasa atau kecuaian serius yang berlaku.
PPPS turut mengambil langkah menghantar aduan rasmi kepada Pejabat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada hari ini.
Aduan tersebut telah diserahkan wakil beliau di Menara KBS, Putrajaya.