fb fb fb fb fb

Isu imigresen selesai, Ayrton Costa akhirnya dibenarkan sertai Piala Dunia Kelab di AS

Pemain Boca Juniors, Ayrton Costa (kiri) ketika beraksi menentang River Plate pada April lalu / REUTERS

BUENOS AIRES, 14 Jun- Pemain pertahanan Boca Juniors, Ayrton Costa, akhirnya dibenarkan menyertai kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat selepas pihak imigresen negara itu menarik balik keputusan terdahulu yang menolak permohonan visanya.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap kelab Argentina berkenaan kepada agensi berita Reuters pada Jumaat.

“Ayrton Costa telah diberikan visa khas selama 26 hari,” jelas jurucakap berkenaan.

Terdahulu, permohonan visa Costa tergantung susulan rekod aduan jenayah di negara asalnya yang berkait dengan kes rompakan berkumpulan pada tahun 2018.

Beliau tidak dibicarakan bagi kes itu selepas menerima hukuman percubaan pada tahun 2023.

Namun, pihak berkuasa Amerika Syarikat sebelum ini memutuskan Costa tidak layak memasuki negara itu kerana masih menjalani hukuman berkenaan.

Sementara itu, pejabat media Kedutaan Amerika Syarikat di Argentina ketika dihubungi Reuters memaklumkan, pihaknya tidak dapat mengulas mengenai mana-mana permohonan visa individu.

Boca Juniors dijadual membuka tirai kejohanan itu menentang kelab Portugal, Benfica di Miami pada Isnin.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE