fb fb fb fb fb

Nidzam, Luqman milik NSFC

Mohd Nidzam Jamil / Foto FB NSFC

KUALA LUMPUR, 13 Jun- Mohd Nidzam Jamil dilantik sebagai Ketua Jurulatih Liga Super pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi musim 2025/2026.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut kenyataan, beliau yang juga Pengerusi NSFC berkata ia sebagai simbol komitmen berterusan kelab dalam memperkukuh persediaan pasukan.

Ini termasuk menetapkan hala tuju baharu yang lebih progresif serta mampan.

“Mohd Nidzam Jamil merupakan individu berpengalaman luas dalam landskap bola sepak Malaysia, baik sebagai bekas pemain kebangsaan mahupun jurulatih berprofil tinggi.

"Kepakaran beliau dalam pembangunan pemain muda dan pendekatan taktikal yang moden diyakini mampu memperkasa NSFC dalam menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang kelab, NSFC akan memberikan penekanan utama kepada pembangunan bakat muda tempatan, terutamanya pemain-pemain muda Negeri Sembilan.

Pendekatan tersebut akan disokong kerjasama erat antara barisan kejurulatihan dengan pemain senior, bagi memastikan pemain muda dibimbing secara menyeluruh dalam dan luar padang.

“Bagi menjayakan visi ini, NSFC membuat keputusan menandatangani beberapa pemain utama, antaranya penyerang Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol Muhd Azri Abd Ghani, dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee.

Datuk Seri Aminuddin turut mengesahkan NSFC akan diperkuat barisan pemain import yang sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kehadiran pemain-pemain import ini akan melengkapkan struktur pasukan dengan keseimbangan antara pengalaman antarabangsa, kepimpinan di atas padang dan sumbangan teknikal yang mampu mengangkat mutu permainan keseluruhan.

“Gabungan pemain muda berpotensi, pemain tempatan berpengalaman dan pemain import yang berkaliber ini dijangka membentuk sebuah pasukan yang lebih kompetitif, seimbang dan berdaya saing tinggi," katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID