PITTSBURGH, 14 Jun- Sam Burns melonjak ke kedudukan pendahulu di separuh jalan kejohanan Terbuka AS selepas mencatat pusingan terbaik minggu ini di Kelab Golf Oakmont, sekali gus menghidupkan harapan untuk merangkul gelaran major pertamanya.
Burns yang bermula awal dari tee ke-10, mencatat lima bawah par 65, skor terendah kejohanan setakat ini bagi mendahului keseluruhan pada tiga bawah par, satu pukulan di hadapan pendahulu hari pertama, J.J. Spaun yang menutup hari dengan 72 pukulan.
Viktor Hovland mencatat skor bawah par, dua pukulan di belakang Burns selepas melalukan 68 pukulan yang turut menyaksikan beliau melakukan chip-in untuk eagle di lubang ke-17, par empat.
Burns, yang mengutip enam birdie dan hanya satu bogey, hampir kehilangan momentumnya di lubang terakhir apabila pukulan teenya tersasar sehingga memaksa beliau mengambil penalti. Namun, beliau berjaya meletakkan bola di atas green sebelum melengkapkan putt sejauh 22 kaki bagi menyelamatkan par.
Pemain berpengalaman Adam Scott, yang sedang membuat penampilan ke-96 berturut-turut dalam kejohanan major, mencatat skor par 70 buat kali kedua berturut-turut, dan kini berkongsi tempat keempat bersama Ben Griffin, tiga pukulan di belakang pendahulu.
Menurut Elias Sports Bureau, buat pertama kali sejak 2021, tiada pemain dengan gelaran Terbuka Amerika dalam senarai lima teratas selepas 36 lubang.
Pusingan kedua terpaksa digantung seketika akibat cuaca buruk melibatkan kilat dan hujan lebat, dengan 13 pemain masih belum menamatkan permainan. Antaranya Thriston Lawrence, yang hanya memerlukan satu putt par sejauh tiga kaki di lubang terakhir untuk mengekalkan kedudukan satu atas par keseluruhan.
Rory McIlroy pula terpaksa berhempas-pulas untuk memastikan tempat aksi hujung minggu selepas memulakan pusingan dengan dua double-bogey awal. Ketika beraksi di lubang ke-12, McIlroy dilihat meluahkan kekecewaan dengan melontar kelab selepas pukulan keduanya tidak menjadi.
Kesabarannya terus diuji di lubang ke-17 apabila bola tersasar ke rough sebelum beliau melepaskan hayunan kuat sehingga merosakkan tee box berhampiran. Bagaimanapun, McIlroy berjaya menyelamatkan par di lubang itu dan menutup aksi dengan birdie hasil pukulan mendekati pin sejauh empat kaki, cukup untuk melepasi cut dengan kelebihan satu pukulan. Beliau kini sembilan pukulan di belakang Burns.
Juara bertahan, Bryson DeChambeau, pula gagal mempertahankan gelaran apabila tersingkir selepas mencatat tujuh atas par 77, menjadikan keseluruhan 10 atas untuk minggu ini.
Pilihan utama kejohanan, Scottie Scheffler yang mencatat pusingan pembukaan terburuk dalam kerjaya majornya, masih bergelut apabila menamatkan pusingan kedua dengan satu atas par 71. Beliau kini berada pada empat atas keseluruhan.-REUTERS