KUALA LUMPUR, 13 September - Ketua Pegawai Eksekutif, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi berdepan cabaran besar dalam membawa perubahan baharu kepada bola sepak Malaysia, terutamanya dalam menyelesaikan isu kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi beberapa kelab Liga Malaysia.
Menurut Rossi, isu tersebut memerlukan kajian terperinci sebelum sebarang langkah boleh diambil dan perbincangan bersama kelab-kelab akan dijalankan untuk mencari penyelesaian.
“Ini adalah cabaran untuk semua pihak, bukan hanya saya. Saya maklum mengenai isu gaji dan masalah kewangan ini. Ia perlu dikaji dengan teliti sebelum dapat diselesaikan,” katanya.
Antara pasukan yang dilaporkan mengalami masalah pembayaran gaji pemain adalah Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman.
Dalam perkembangan lain, Rossi memaklumkan bahawa MFL tidak merancang untuk mengembalikan Liga Perdana dalam masa terdekat.
Namun, beliau bersedia mempertimbangkannya jika terdapat cadangan pada masa akan datang.
“Kami akan mempertimbangkan, tetapi ia memerlukan persiapan yang rapi. Jika mengharapkan ia dalam masa terdekat, ia tidak akan berlaku,” katanya.
Untuk rekod, Liga Perdana dimansuhkan selepas musim 2022 dan ketika ini saingan Piala MFL bagi pasukan bawah 23 tahun menjadi liga kedua selepas Liga Super.