fb fb fb fb fb

SUKIPT 2024: Skuad bola sepak UiTM rangkul emas

Foto: FB UITM United

SINTOK, 14 September- Skuad bola sepak Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjulang pingat emas dalam Sukan Intitusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, selepas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-1 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) malam tadi.

Ia merupakan kali ketiga dimenangi UiTM selepas melakukannya pada 2018 dan 2022.

Pada aksi final malam tadi, UiTM terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi tandukan kemas Ahmad Taufik Lukman pada minit ke-12 sebelum UKM menyamakan kedudukan apabila Muhammad Hadi Mohamad menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas wisel penamat sekali gus memaksa perlawanan diteruskan dalam masa tambahan.

Muhammad Fakrur Radzi Khairi Anuar muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan UiTM pada minit ke-114 sekali gus mengesahkan pingat emas dibawa pulang.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula meraih pingat gangsa setelah menunduk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 dalam satu lagi perlawanan penentuan.

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM, Mohd Yazli Yahya berkata pasukannya tampil dengan muka baharu namun telah mempamerkan kesungguhan tinggi untuk mempertahankan pingat emas dimenangi UiTM buat kali ketiga berturut-turut.

"Saya bersyukur dengan kemenangan kali ketiga ini dan saya lihat pemain baharu yang diturunkan bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan walaupun kami sedar lawan kami bukanlah pasukan biasa.

“Walaupun pada saingan separuh akhir semalam kami bermain hingga masa tambahan, tetapi saya optimis pemain saya boleh kembali beraksi dengan baik di pentas akhir. Apa yang kami rancangkan dari segi kecergasan hingga hujung acara bola sepak ini adalah mengikut apa telah ditetapkan," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI