KUALA LUMPUR - 1 Julai - Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengesyorkan Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026 tanpa perlu melalui proses pembidaan seperti kebiasaan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, syor berkenaan dibuat sebagai mengiktiraf keupayaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, cadangan itu pertama kali diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Mei.
“PSM telah menunjukkan kemampuannya dengan berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan Piala Asia 2025 dengan sokongan 70 pegawai teknikal dari 16 negara,” katanya dalam kenyataan.
Pengumuman berkenaan dibuat susulan pemilihan semula Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Presiden PSM bagi penggal 2025-2028 pada Mesyuarat Agung Tahunan PSM, semalam.
Datuk Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Sumali atas pelantikan semula itu.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan akar umbi menerusi Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan lebih 500 atlet muda dari 25 institusi di seluruh negara. - BERNAMA