FLORIDA, 1 Julai- Pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal kembali menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan di Palm Beach Gardens, Florida pada Isnin, ketika masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan lutut.
Carvajal, yang tidak beraksi sejak Oktober 2024, kelihatan berlatih bersama bintang utama pasukan seperti Kylian Mbappe dan Vinicius Junior menjelang pertembungan menentang Juventus dalam pusingan 16 akhir Piala Dunia Kelab yang akan berlangsung di Miami.
Cuaca panas melampau serta ribut petir yang melanda beberapa bandar tuan rumah turut menimbulkan kebimbangan apabila beberapa perlawanan sebelum ini terganggu akibat ancaman kilat.
Ketika ditanya sama ada Real Madrid bimbang perlawanan mereka turut terjejas, Carvajal berkata gangguan cuaca seperti itu tidak biasa berlaku di Eropah dan menuntut adanya protokol yang lebih jelas.
“Bagi saya, itu bahagian yang paling mencabar. Dalam perlawanan dua hari lalu, pertembungan Chelsea contohnya, tergendala hampir sejam setengah ke dua jam. Situasi begitu jarang berlaku di Eropah.
“Sepatutnya ada protokol khas agar perlawanan boleh ditamatkan tanpa gangguan berpanjangan kerana ia benar-benar menjejaskan saingan,” katanya kepada media di luar sesi latihan.
Terdahulu, perlawanan Chelsea menentang Benfica dalam pusingan 16 akhir turut mengalami kelewatan hampir dua jam akibat cuaca buruk sebelum dimenangi pasukan Liga Perdana Inggeris itu 4-1 pada masa tambahan.
Rakan sepasukan Carvajal, Dean Huijsen turut mengulas cabaran cuaca menjelang aksi penting tersebut yang dijadualkan bermula pukul 3 petang di Stadium Hard Rock, Miami.
“Memang sangat panas, dan ribut pun ada. Kami tak pasti apa yang akan berlaku, tapi kami akan turun bermain. Kalau menang, harapnya kami ke New York,” katanya.-REUTERS