fb fb fb fb fb

ISTAF iktiraf kepimpinan Sumali, mahu Malaysia anjur Piala Dunia tanpa bidaan

Datuk Abdul Halim Kader (kiri) dan Datuk Mohd Sumali Reduan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Jun- Pelantikan semula Datuk Mohd Sumali Reduan sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi penggal 2025–2028 mendapat penghargaan dan sokongan penuh daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader menerusi satu kenyataan menyifatkan kepimpinan Datuk Mohd Sumali sebagai pencetus transformasi besar dalam pembangunan dan penganjuran sukan sepak takraw negara ke peringkat global.

"Bagi pihak Majlis Eksekutif ISTAF, saya merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Mohd Sumali atas pelantikan semula tersebut. Komitmen teguh dan kepimpinan cemerlang beliau telah memainkan peranan penting dalam mengembalikan kegemilangan sukan sepak takraw di Malaysia, serta mengangkat martabatnya ke peringkat antarabangsa.

"Sejak menerajui tampuk kepimpinan PSM pada tahun 2022, beliau telah memacu pelbagai inisiatif transformasi termasuk menaik taraf Stadium Jalan Raja Muda menjadi Akademi Sepak Takraw bertaraf dunia, hasil peruntukan RM6 juta daripada Kerajaan Persekutuan," menurutnya. 

Sementara itu, susulan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PSM semalam, Datuk Halim Kader memaklumkan ISTAF akan mencadangkan agar hak penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 (Lelaki & Wanita) diberikan terus kepada PSM tanpa melalui proses bidaan seperti kebiasaan.

"ISTAF menyokong penuh cadangan tersebut, berdasarkan rekod cemerlang PSM yang berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2024 dan Piala Asia ASTAF 2025 dengan penyertaan 70 pegawai teknikal dari 16 negara, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah berwibawa di peringkat antarabangsa," tambah Datuk Abdul Halim Kader.

Cadangan tersebut mula dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ucapannya ketika Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE