PETALING JAYA, 30 Jun- Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Pertama 2025 hari ini meluluskan pelantikan mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM.
FAM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut dibuat sebagai penghargaan terhadap kredibiliti, pengalaman dan sumbangan besar beliau dalam pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa yang telah berlangsung lebih tiga dekad.
"Mengikut Artikel 22 Statut FAM, Kongres berhak menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bola sepak negara. Bagi gelaran Presiden Kehormat, ia hanya diberikan kepada individu yang pernah memegang jawatan Presiden FAM. Manakala gelaran Ahli Kehormat FAM pula dikhususkan kepada individu yang pernah menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.
"Anugerah ini adalah atas penamaan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM, dan penerima gelaran boleh menghadiri Kongres serta menyertai perbahasan, namun tidak mempunyai hak mengundi. Justifikasi pelantikan Tan Sri Hamidin sebagai Presiden Kehormat dibuat berdasarkan latar belakang kepimpinan, penglibatan di peringkat serantau dan antarabangsa, inisiatif dan rekod pencapaian, pengiktirafan dan anugerah antarabangsa serta sumbangan di luar arena bola sepak, " menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Kongres FAM pada tahun 2014 pernah menganugerahkan gelaran sama kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Shah yang menerajui FAM dari 1984 hingga 2014.
Anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi FAM atas sumbangan besar baginda dalam memperkukuh institusi bola sepak negara.
Al-Marhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada tahun 2019, menandakan penutup kepada era kepimpinan yang penuh jasa dalam sejarah bola sepak kebangsaan.