SUBANG JAYA, 30 Jun- Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin hari ini dilantik sebagai Presiden Kehormat badan induk tersebut, kira-kira empat bulan selepas beliau secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dalam sidang media selepas mempengerusikan Kongres Luar Biasa FAM 2025 yang berlangsung, hari ini.
Pelantikan itu sekali gus menjawab spekulasi yang berlegar sejak beberapa bulan lalu berhubung kemungkinan Hamidin kembali ke dalam struktur kepimpinan FAM selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada Kongres Pemilihan awal tahun ini.
Menurut Mohd Joehari, keputusan melantik Hamidin sebagai Presiden Kehormat dibuat berdasarkan kredibiliti serta lebih tiga dekad pengalaman tokoh itu dalam pembangunan bola sepak negara dan di peringkat antarabangsa.
“Kita melihat kehadiran Tan Sri Hamidin sebagai satu nilai tambah kerana beliau mempunyai jaringan luas termasuk dengan FIFA, AFC, AFF serta hubungan erat dengan agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Katanya, pelantikannya sebagai Presiden Kehormat itu juga adalah sebagai nilai tambah kepada pemegang-pemegang jawatan tinggi FAM yang sedia ada.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menegaskan bahawa pelantikan itu bukan satu bentuk pertindihan kuasa, sebaliknya melengkapi struktur sedia ada di FAM.
“Kami mempunyai peranan berbeza. Tan Sri lebih kepada memberi nasihat serta memainkan peranan sebagai duta FAM. Seperti yang saya katakan, ini bukan soal membayangi sesiapa.
"Apa sahaja yang dapat membawa penambahbaikan kepada FAM, kita perlu bersikap objektif,” katanya lagi.
Mohd Joehari turut memaklumkan pelantikan Hamidin turut menerima sokongan penuh daripada semua ahli perwakilan yang hadir pada kongres tersebut.