SUBANG JAYA, 30 Jun – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan berhati-hati susulan kenyataan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang mendakwa wujud campur tangan luar dalam skuad kebangsaan.
Kenyataan jurulatih kelahiran Australia itu telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada kalangan penyokong bola sepak tempatan, selepas beliau menyuarakan kebimbangan mengenai isu dalaman termasuk unsur politik yang dikatakan mengganggu perkembangan pasukan.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian mahupun menambah tafsiran terhadap kenyataan tersebut yang boleh mengundang salah faham dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak negara.
“Kita sendiri tidak pasti apa maksud sebenar Peter. Jadi lebih baik perkara ini ditanyakan terus kepada beliau bagi mendapatkan penjelasan yang tepat,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Kongres Luar Biasa (EGM) FAM Pertama 2025 di sini, hari ini.
Kenyataan kontroversi Cklamovski itu sebelum ini dilaporkan media susulan kemenangan 4-0 Harimau Malaya ke atas Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027, yang berlangsung pada 10 Jun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam kenyataannya, Cklamovski mendakwa pasukan kebangsaan menghadapi pelbagai halangan dalaman yang menyukarkan usaha untuk mara ke peringkat lebih tinggi, termasuk campur tangan luar dan elemen politik.
Mengulas lanjut, Mohd Joehari berkata adalah lebih baik untuk mendengar sendiri penjelasan Cklamovski bagi mengelakkan sebarang salah tafsir.
“Kadang-kadang apabila sesuatu kenyataan diterjemah atau disampaikan semula, maksudnya boleh berubah. Jadi lebih baik kita dengar daripada beliau sendiri,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan FAM tetap mengekalkan keyakinan penuh terhadap pasukan kejurulatihan Harimau Malaya sejak awal pelantikan Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan.
“Saya boleh beri jaminan, sebagai Presiden FAM, sokongan kami terhadap jurulatih dan pemain adalah 100 peratus, malah saya berani kata 150 peratus. Kita sentiasa berdiri teguh di belakang mereka,” tegasnya.