KUALA LUMPUR, 14 Februari- AMS Caddy Academy dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Inisiatif Kemahiran India Malaysia (MiSI), melancarkan program latihan kemahiran dan jaminan pekerjaan khusus untuk komuniti India.
Inisiatif, bertujuan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan serta memperkasakan pembangunan sektor golf di Malaysia.
Majlis perasmian program itu berlangsung di A'Famosa Golf Resort, Melaka dan dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, Datuk P. Shanmugam serta wakil-wakil utama dari MiSI, MGA dan AMS Caddy Academy.
Pengarah Urusan AMS Caddy Academy, Low Hock Lai, berkata kerjasama itu bukan sekadar memberi latihan kemahiran kepada peserta, malah menjamin masa depan mereka melalui peluang pekerjaan yang stabil serta penawaran gaji yang melebihi kadar minimum yang ditetapkan kerajaan.
"Program ini bukan hanya mengenai latihan semata-mata, tetapi juga mengenai memastikan kesejahteraan masa depan para peserta. Dengan jaminan pekerjaan serta manfaat seperti perlindungan insurans dan perkembangan kerjaya, kami menetapkan standard baharu untuk profesion caddy di Malaysia," katanya.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Datuk P. Shanmugam menegaskan bahawa program berkenaan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan taraf hidup komuniti India melalui penyediaan kemahiran dan pekerjaan yang stabil.
"Latihan ini merupakan satu langkah signifikan dalam menjadikan industri caddy ke arah profesional, di samping membuka ruang kepada golongan belia India untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih berkualiti.
"Saya menyeru lebih ramai belia dari komuniti India di Melaka dan seluruh negara untuk menyertai program ini kerana ia menawarkan peluang peningkatan ekonomi dan pertumbuhan kerjaya jangka panjang," katanya.
AMS Caddy Academy menyasarkan untuk melatih dan menempatkan seramai 2,300 caddy menjelang tahun 2029.
Usaha itu selaras dengan objektif kerajaan dalam memastikan tenaga kerja tempatan terus berkembang, mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta memperkukuh industri golf di Malaysia.