fb fb fb fb fb

Ikon bola sepak England, David Beckham terima gelaran kebesaran ‘Sir’

Sir David Becham bergambar bersama Raja Charles di Istana St James, London / REUTERS

LONDON, 14 Jun- Legenda bola sepak England, David Beckham kini secara rasmi bergelar “Sir” selepas dianugerahkan darjah kebesaran oleh Kerajaan Britain atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang sukan dan kerja amal.

Bekas kapten skuad The Three Lions itu menyertai senarai penerima darjah kehormatan sempena Hari Keputeraan Raja Charles III, bersama ikon muzik Roger Daltrey dari kumpulan The Who serta pelakon pemenang Oscar, Gary Oldman.

Beckham, 50, yang terkenal dengan aksi cemerlang di kelab ternama seperti Manchester United dan Real Madrid, sebelum ini menerima anugerah Order of the British Empire (OBE) pada 2003, namun darjah kebesaran terkini itu merupakan tahap lebih tinggi dalam sistem kehormatan diraja Britain.

Isterinya, Victoria ahli kumpulan pop Spice Girls yang kini bergelar pereka fesyen juga akan dikenali sebagai Lady Beckham selepas pengiktirafan tersebut.

“Saya membesar di timur London dalam keluarga yang sangat patriotik dan bangga menjadi rakyat Britain. Tak pernah terlintas saya akan menerima penghormatan setinggi ini,” kata Beckham dalam kenyataan kepada agensi Press Association.

“Saya amat bertuah kerana dapat melakukan perkara yang saya cintai, dan sangat bersyukur apabila ia turut dihargai.”

Penganugerahan itu menandakan kemuncak perjalanan panjang Beckham dalam membina identiti sebagai lebih daripada sekadar atlet malah kini menjadi simbol global dalam sukan, fesyen dan keusahawanan.

Menurut Prof. Marie Agnes Parmentier, pakar pemasaran dari Universiti Montreal yang banyak mengkaji fenomena “Posh and Becks”, gelaran tersebut adalah lambang simbolik berpengaruh terhadap jenama Beckham yang diasah sejak zaman kegemilangannya di padang bola.

Difahamkan, nama Beckham pernah dicalonkan untuk anugerah kebesaran selepas kejayaannya membantu London membida Olimpik 2012, namun ditangguh susulan siasatan dakwaan penglibatannya dalam skim pengelakan cukai, yang akhirnya didapati tidak bersalah.

Kini, selepas lebih dua dekad berada di pentas dunia, Sir David Beckham akhirnya menerima pengiktirafan rasmi tertinggi dari negaranya sendiri.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE