GENEVA, 30 Ogos - Budapest di Hungary akan menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Pentatlon 2027 manakala Kaherah di Mesir akan menganjurkan edisi 2028, umum Union Internationale de Pentathlon Moderne (UIPM) semalam, lapor Xinhua.
Lembaga Eksekutif (EB) UIPM yang bermesyuarat di Kaunas, Lithuania pada 27 hingga 28 Ogos membuat pelbagai keputusan penting berkaitan masa depan sukan UIPM.
Amerika Syarikat pula kembali sebagai tuan rumah Piala Dunia Pentatlon menjelang Sukan Olimpik LA28 apabila West Hollywood di Los Angeles dipilih menganjurkan satu daripada empat pusingan musim biasa siri Piala Dunia pada 2027.
West Hollywood juga akan menjadi tuan rumah Kongres UIPM 2028 yang bersifat pemilihan, manakala Kongres 2026 yang bukan pemilihan akan dibuka kepada perwakilan dalam talian di Monaco.
Presiden UIPM Rob Stull dalam satu kenyataan berkata: “Di Kaunas ini, kami memperlihatkan kepada dunia potensi hebat pentatlon baharu berteknologi tinggi kami, yang turut menjadi panduan kepada mesyuarat Lembaga Eksekutif yang penuh bertenaga. Sangat mengujakan apabila sukan kami berkembang ke sempadan baharu pada 2027 dan 2028, selain kembali ke negara yang pernah mencatat kenangan manis sebelum ini.” - BERNAMA