fb fb fb fb fb

HSN Melaka, tawar 35 acara sukan pelbagai generasi

Sekitar Bicara Santai Wakil Rakyat Untuk Rakyat bersama Exco Belia, Sukan & NGO, Datuk VP Shanmugam yang berkongsi tentang "Hari Sukan Negara" Peringkat Negeri Melaka 2025/Foto MELAKAfm

JALAN TAMING SARI, 9 Oktober- 35 acara sukan disediakan sempena Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka 2025 di Dataran Orang Kampung, Merlimau, Sabtu ini. 

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, antaranya sukan tradisional, e-Sukan dan pelbagai lagi.

Seramai 10,000 peserta dan pengunjung dijangka menghadiri program berkenaan dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 10.00 malam.

“Kita khususkan kali ini memandangkan hasrat besar Ketua Menteri untuk kita kembali kepada permainan tradisional asal seperti dam aji, konda kondi dan sebagainya.

Kita juga selitkan permainan boling kelapa, satu permainan yang mungkin hanya dikenali oleh mereka yang lahir pada era 60-an, 70-an dan 80-an. Bagi generasi selepas itu, mungkin permainan ini agak asing. Jadi, inilah masa terbaik untuk anda datang dan melihat sendiri bagaimana permainan tradisional ini dimainkan," kata Datuk VP Shanmugam.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu di Konti MELAKAfm, Jalan Taming Sari.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu lebih 150,000 pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk guru akan melaksanakan aktiviti senamrobik serentak di semua sekolah, esok.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM