fb fb fb fb fb

Naturalisasi: 23 pemain bola sepak diberi kerakyatan sejak 2018 - KDN

Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi kebangsaan yang menerima kerakyatan pada 2018/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Seramai 23 pemain bola sepak telah diberi taraf warganegara melalui jalur naturalisasi, sejak tahun 2018.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan proses kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti selaras Perkara 19 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 19 memperuntuk bidang kuasa kerajaan untuk mempertimbang, memproses serta membuat keputusan permohonan kerakyatan seseorang mengikut syarat-syarat ditetapkan. 

“Menurut Perkara 19, pemohon perlu mengemukakan permohonan sendiri dan tidak boleh melalui ejen. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menggunakan khidmat ejen bagi urusan permohonan kewarganegaraan. "

"Terdapat tiga rukun utama yang perlu dipenuhi iaitu pertama, pemohon mesti bermastautin di Malaysia bagi tempoh yang ditetapkan. Kedua, mesti berkelakuan baik serta lulus tapisan keselamatan serta yang ketiga, mempunyai tahap pemahaman Bahasa Melayu yang mencukupi. Apabila semua perkara ini dipatuhi, barulah permohonan boleh dipertimbangkan untuk proses seterusnya,” ujar Datuk Seri Saifuddin di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan mengenai statistik pemain yang telah dinaturalisasikan sejak 2018 hingga kini dan kriteria serta kelayakan digunakan kerajaan dan FAM dalam proses penentuan seseorang untuk dinaturalisasikan.

Tambah beliau, proses permohonan kerakyatan kesemua pemain juga dilakukan berdasarkan Kaedah-Kaedah Warganegara 1964.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM