fb fb fb fb fb

Hoki persahabatan: 'Young Tigers' mula langkah kanan

(FOTO RTM)

BUKIT JALIL, 4 Julai- Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan siri perlawanan persahabatan dengan langkah kanan selepas mengatasi kelab Western Australia 3-1.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan pemain pertahanan T Prabu muncul wira apabila mencetak dua jaringan manakala baki satu lagi gol diperoleh menerusi Harris Iskandar Osman.

Menurut Jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim, perlawanan itu adalah sebahagian persiapan pasukan menghadapi Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur, Disember ini.

" Sudah tentu banyak elemen-elemen penambahbaikan yang perlu kita lakukan.

"Kalau beraksi di peringkat antarabangsa, kita masih belum bersedia daripada segi fizikal dan kita ada peningkatan dalam permainan", katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Skuad Young Tigers dijadual bertemu lagi dengan Western Australia dalam perlawanan persahabatan esok, Jumaat dan Sabtu sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur pada Disember.

Malaysia dijangka berdepan laluan sukar bagi melepasi saingan peringkat kumpulan seterusnya layak ke suku akhir apabila diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Argentina, bekas juara Australia serta Chile pada kejohanan dari 5 hingga 16 Disember depan.

Pencapaian terbaik Young Tigers dalam kejohanan itu menghuni tangga keempat tiga kali iaitu pada edisi 1979 di Versailles, Perancis, 1982 (Kuala Lumpur) dan 2013 (New Delhi).


(Jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim)

Media Baharu