PERTH, 1 Mei - Skuad hoki lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 4-4 menentang Australia meskipun mendahului selesa 4-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hoki Perth, hari ini.
Malaysia, yang kini menghuni ranking ke-13 dunia, bermula cemerlang apabila mengejutkan pasukan tuan rumah yang berada di kedudukan keenam dunia dengan empat jaringan pada separuh masa pertama.
Tiga gol masing-masing disumbangkan oleh Azrai Aizad Abu Kamal, Fitri Saari dan Shello Silverius, manakala satu lagi gol terhasil menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Syed Syafiq Syed Cholan.
Bagaimanapun, kelekaan di separuh masa kedua memberi ruang kepada Australia untuk bangkit menyamakan kedudukan, sekali gus mengelak kekalahan di laman sendiri.
Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah persahabatan skuad Speedy Tigers di Australia sebagai persediaan menghadapi Piala Negara-Negara yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 15 hingga 21 Jun ini.
Sebelum ini, pasukan bawah kendalian Sarjit Singh itu mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan Western Australia pada 23 April lalu, namun dikecewakan Australia A sehari kemudian dengan kekalahan besar 0-6.
Speedy Tigers turut berdepan dua kekalahan kepada skuad utama Australia, tewas 2-5 pada 28 April dan 1-4 pada 29 April.
Siri perlawanan persahabatan ini diharap mampu memberi pengalaman berharga kepada barisan pemain negara dalam misi memperkukuh prestasi sebelum kempen sebenar bermula bulan depan.