fb fb fb fb fb

Healy sarung jersi kuning, Yates menang peringkat ke-10 Tour de France

Pelumba Ireland, Ben Healy menjadi pelumba negaranya yang pertama menyarung jersi kuning Tour de France / Foto REUTERS

PERANCIS, 15 Julai - Pelumba Ireland, Ben Healy mencipta sejarah apabila menjadi pelumba negaranya yang pertama dalam tempoh 38 tahun, menyarung jersi kuning Tour de France selepas tamat peringkat ke-10, pada Isnin.

Walaupun hanya menamatkan saingan di tempat ketiga, Healy kini mendahului pelumba utama, Tadej Pogacar dari Slovenia dengan kelebihan 29 saat dalam kedudukan keseluruhan.

Kemenangan peringkat ke-10 menjadi milik pelumba Britain, Simon Yates yang melancarkan serangan solo pada pendakian terakhir sejauh 165.3 kilometer dari Ennezat. Thymen Arensman di tempat kedua, manakala Healy di tempat ketiga.

Remco Evenepoel dari Belgium kini berada di tempat ketiga keseluruhan, satu minit di belakang Healy, selepas kehilangan masa pada penghujung perlumbaan.

Pogacar sempat membuat serangan untuk menguji seterunya, Jonas Vingegaard namun kedua-duanya kekal berdekatan dan Vingegaard kini ketinggalan 1 minit 17 saat.

Ketika Pogacar memperlahankan kayuhan menuju penamat, Healu tersenyum melihat aksinya di skrin besar dan melintasi garisan penamat untuk menjadi pelumba Ireland pertama memimpin Tour de France sejak Stephen Roche pada 1987. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE