MADRID, 10 November - Jaringan hatrik Vinicius Junior membantu Real Madrid bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri menerusi kemenangan 4-0 ke atas Osasuna dalam saingan La Liga.
Selepas dibelasah Barcelona dalam pertemuan 'Clasico' liga dan kemudian ditewaskan AC Milan dalam Liga Juara-Juara, pasukan Carlo Ancelotti amat memerlukan kemenangan untuk memulihkan keyakinan di Santiago Bernabeu.
Juara Sepanyol dan Eropah itu membenam Osasuna menerusi hatrik Vinicius manakala Jude Bellingham menjaringkan gol pertamanya musim ini untuk 'Los Blancos'.
Namun, bintang Madrid, Kylian Mbappe, gagal menjaringkan gol dan hanya menyumbang satu gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya.
Dua pemain Brazil, Eder Militao dan Rodrygo, terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan selain Lucas Vazquez yang turut cedera.
Madrid kini di tangga kedua, enam mata di belakang Barcelona yang berada di puncak liga sebelum skuad Catalan itu berkunjung ke Real Sociedad.
"Vinicius membuat perubahan sekali lagi hari ini, seperti yang telah banyak kali dilakukannya sebelum ini," kata Ancelotti.
Pemain Brazil itu menduduki tempat kedua dalam undian Ballon d'Or walaupun menjadi pilihan untuk memenangi anugerah itu, namun tewas kepada pemain tengah Manchester City, Rodri.
"(Tidak memenangi) Ballon d'Or adalah butiran kecil yang tidak menjejaskannya, memandangkan apa yang kita lihat hari ini," tambah Ancelotti. - AFP