KUALA LUMPUR, 10 November - Beregu lelaki negara meraih gelaran juara pertama musim ini selepas menumpaskan pasangan tuan rumah Jin Yong-Kim Won Ho pada final Kejohanan Badminton Masters Korea hari ini.
Gandingan pilihan pertama kejohanan itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menjuarai kejohanan berstatus Super 300 itu, untuk bangkit selepas kalah set pertama 21-23 sebelum menang 21-19, 21-14 pada set kedua dan ketiga, pada perlawanan berlangsung di Gimnasium Iksan.
Pasangan keenam dunia itu, membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai berjumlah US$15,750 (RM69,020).
Kemenangan itu sekali gus membuka peluang kepada Aaron-Wooi Yik menempah slot ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, bulan depan.
Namun mereka perlu memastikan sekurang-kurangnya menaiki satu lagi podium di kejohanan bertaraf Super 500 Kumamoto Masters Jepun, bermula Selasa ini. - BERNAMA