BRIGHTON, 10 November - Pep Guardiola mengakui Manchester City yang dibelenggu kecederaan tidak mampu beraksi 90 minit selepas Brighton menewaskan mereka 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut pengendali dari Sepanyol itu - kali pertama ia berlaku sepanjang kariernya sebagai jurulatih.
Anak buah Guardiola tidak mampu mempertahankan kelebihan gol 1-0 hasil jaringan Erling Haaland pada minit ke-23.
Dengan perlawanan berbaki 12 minit sahaja untuk aksi di Stadium Amex, juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu tumbang di minit-minit akhir apabila Joao Pedro menyamakan kedudukan pada minit ke-78.
Matt O'Riley kemudian meledak gol kemenangan buat Brighton tujuh minit sebelum tamat perlawanan.
Buat pertama kali dalam karier gemilangnya sebagai pengendali City, Bayern Munich dan Barcelona, Guardiola ditewaskan empat kali berturut-turut.
Ia juga kali pertama buat City tewas empat perlawanan berturut-turut sejak Ogos 2006, ketika di bawah kendalian Stuart Pearce.
"Hari ini kami bermain sangat baik di babak pertama tetapi tidak berjaya mengukuhkan kedudukan.
"Kami tidak konsisten dalam mengekalkan permainan kami dan terus memberi tekanan serta agresif untuk tempoh 90 minit.
"Tahap permainan kami sangat bagus dalam beberapa keadaan tetapi kami tidak mampu mengekalkannya untuk tempoh yang lama.
"Saya pasti apabila pemain-pemain kembali (selepas rehat perlawanan antarabangsa), kami akan bertambah baik," kata Guardiola.
Selepas tersingkir daripada Piala Liga di tangan Tottenham dan mengharungi kekalahan liga pertama sejak Disember di Bournemouth, City dibelasah 4-1 oleh Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Kekalahan diteruskan dengan kegagalan mereka menambah jaringan ke atas Brighton, sekali gus menjejaskan misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kelima berturut-turut. - AFP