LIVERPOOL, 10 November - Pasukan Liverpool kini selesa di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan lima mata selepas menumpaskan Aston Villa 2-0 di Anfield awal pagi tadi.
Jaringan Darwin Nunez dan Mohamed Salah memberikan kemenangan buat tuan rumah.
The Reds memanfaatkan sepenuhnya kekalahan 2-1 Manchester City kepada Brighton pada aksi sebelumnya membuatkan anak buah Arne Slot lebih bersemangat memburu tiga mata.
Nunez membuka jaringan pada minit ke-20 dan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher turut beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan Villa.
Salah memastikan kemenangan Liverpool dengan jaringan pada minit ke-84 untuk mengekalkan permulaan sensasi kelab di bawah kendalian Slot.
Mereka memenangi 15 daripada 17 perlawanan dalam semua pertandingan sejak pengendali dari Belanda itu menggantikan Jurgen Klopp akhir musim lalu.
Liverpool akan menuju ke rehat perlawanan antarabangsa dengan 28 mata selepas 11 perlawanan, manakala juara bertahan, Manchester City kini mengumpul 23 mata. - AFP