fb fb fb fb fb

Harimau Muda perlu kekal yakin hadapi Thailand

Nafuzi Zain

KUALA LUMPUR, 8 September - Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain, mahu anak buahnya mengekalkan keyakinan tinggi menjelang pertembungan penting menentang tuan rumah, Thailand, dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, esok.

Menurut Nafuzi, Harimau Muda perlu mengekalkan momentum positif seperti yang dipamerkan dalam dua perlawanan terdahulu bagi memastikan peluang ke pusingan akhir kekal terbuka.

"Kedua-dua pasukan perlukan tiga mata. Kita wajib menang untuk layak sebagai empat naib juara terbaik kerana jika seri, kita tersingkir. Harapan saya, pemain terus yakin, jangan takut atau gugup, sebaliknya bermain seperti dua perlawanan lalu – penuh keyakinan dan habis-habisan untuk menang," katanya menerusi klip video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Nafuzi bagaimanapun, mengakui Thailand pasukan berkualiti yang mampu memberi tentangan hebat di Stadium Thammasat.

"Kalau lihat dua perlawanan awal, mereka jelas pasukan kuat. Bertemu tuan rumah bukan tugas mudah, tetapi yang penting kita yakin, tidak gentar dan ikut perancangan," katanya.

Malaysia memulakan kempen Kumpulan F dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Lubnan sebelum bangkit mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Mongolia.

Selepas dua perlawanan, Thailand mendahului kumpulan dengan empat mata, sama seperti Lubnan, manakala Malaysia di tempat ketiga dengan tiga mata, dan Mongolia tercorot tanpa sebarang mata.

Hanya 11 juara kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada Januari depan.

Malaysia sebelum ini pernah mara ke pusingan akhir edisi 2022 di Uzbekistan dan 2024 di Qatar, dengan pencapaian terbaik adalah layak ke suku akhir edisi 2018 di China.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI