ISKANDAR PUTERI, 8 September - Skuad Harimau Malaya menewaskan Palestin 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Kemenangan tipis itu menyaksikan pasukan kebangsaan mengekalkan rekod tanpa kalah bawah bimbingan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit kedua, hasil penyudah Joao Figueiredo yang menampan kemas hantaran lintang rendah Quentin Cheng.
Palestin hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, namun sepakan percuma Wessam Abouali hanya menggegar tiang gol Harimau Malaya.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu empat kali sebelum ini, dengan rekod terakhir menyaksikan Malaysia tewas 6-0 kepada Palestin pada tahun 2015.

