KUALA LUMPUR, 30 November- Skuad bola sepak kebangsaan mendaki tujuh anak tangga dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara tersebut dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook rasmi.
Harimau Malaya yang berada pada ranking ke-137 dunia pada Oktober lalu, kini berada di kedudukan 130 selepas kemaskini terbaharu FIFA.
Peningkatan skuad Harimau Malaya itu dilakar menerusi dua kemenangan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 pada minggu lalu.
Pasukan negara menundukkan Kyrgyzstan yang berada di tangga ke-97 dengan jaringan 4-3, pada saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Disusuli kemenangan ke atas Taiwan, 1-0, di Stadium Perbandaran Taipei.
Kedudukan terbaru itu adalah yang terbaik dicapai Harimau Malaya dalam tempoh 17 tahun selepas menduduki ranking ke-124 dunia pada 2006.