PEKAN, 1 Disember - Seramai 35 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah diberi peluang untuk bekerjasama menguruskan kejohanan final sukan elektonik (e-sukan), “Mobile Legends Bang-Bang: Rise Of Champion Tournament (MLBB: ROCT) 2023 di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Program anjuran UMPSA melalui Fakulti Komputeran mendapat kerjasama daripada HUAWEI AppGallery bagi melancarkan perjalanan program itu.
Menurut Dekan Fakulti Komputeran UMPSA, Profesor Madya Dr. Adzhar Kamaludin, seramai 35 mahasiswa dan 10 orang tenaga pengajar dari UMPSA telah terlibat sepanjang kejohanan final tersebut berlangsung bagi memastikan segala aspek teknikal dapat dipenuhi.
Disamping itu, untuk memberi pengalaman kepada mahasiswa-mahasiswa tersebut selain pembelajaran di dalam kelas.
"...Di situlah pelajar yang selama ini buat kerja dalam kelas sahaja tapi telah dapat peluang untuk dapat pendedahan secara terus walaupun di peringkat nasional tetapi standard peringkat antarabangsa.
"Yang mana setiap kali lintas langsung di sebelah malam berlaku pertandingan di peringkat awal kita kena pastikan bahawa siaran lintas langsung tersebut dimulakan on time dan tiada sebarang gangguan streaming dan sebagainya dan segala proses tersebut telah diuruskan oleh pasukan pelajar bersama pensyarah," katanya di Dewan Serbaguna UMPSA Kampus Pekan pada 22 November lalu.
Jelasnya, bidang perkomputeran berkait rapat dengan sukan e-sukan iaitu melibatkan kejuruteraan perisian, rangkaian, multimedia grafik dan keselamatan siber.
Menurut beliau, inisiatif anjuran program tersebut dapat memartabatkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disamping menggalakkan mahasiswa IPT untuk terlibat secara aktif dalam e-sukan.
Inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Esports Integrated (ESI), Malaysia Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) dan Esports Pahang.
Program tersebut telah bermula pada 30 September lalu turut melibatkan 40 pasukan daripada IPT di negara ini.
Beliau turut berharap graduan yang dihasilkan oleh UMPSA akan menjadi tunjang utama dalam pembangunan, perisian sukan esport di peringkat Malaysia dan antarabangsa.