KUALA LUMPUR, 11 Jun - Skuad bola sepak Malaysia mula menunjukkan hasil daripada revolusi yang dilakukan apabila berjaya menewaskan pencabar tradisi paling sukar, Vietnam, dengan kemenangan bergaya 4-0 dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Keputusan taktikal Harimau Malaya di bawah bimbingan Peter Cklamovski yang membariskan pemain warisan baharu turut memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad negara, sekali gus menamatkan penantian 11 tahun untuk menewaskan pasukan Naga Emas itu.
Dalam separuh masa pertama, Malaysia menunjukkan dominasi di bahagian tengah tetapi masih kelihatan belum menemui keserasian antara pemain, menyebabkan sukar untuk melepasi benteng pertahanan Vietnam.
Namun begitu, Malaysia hampir memperoleh gol pembukaan pada minit ke-35 menerusi percubaan Dion Cools, tetapi rembatan deras dari luar kotak penalti sekadar menggegarkan tiang kanan gol lawan.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia kembali beraksi dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-49 hasil rembatan pemain warisan baharu, Joao Figueiredo, yang terkena pemain pertahanan Vietnam sebelum bola menerjah gawang Nguyen Filip.
Pemain negara meneruskan momentum serangan apabila seorang lagi pemain warisan baharu, Rodrigo Holgado, berjaya menambah jaringan 10 minit kemudian melalui sepakan leret dari dalam kotak penalti.
Malaysia menambah gol ketiga pada minit ke-67 hasil jaringan Corbin Ong yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Arif Aiman Mohd Hanapi, sebelum Dion Cools memastikan kemenangan bergaya di gelanggang sendiri dengan tandukan kemas pada minit ke-89.
Kemenangan yang dicatat malam ini membolehkan Malaysia mengambil alih kedudukan teratas Kumpulan F dengan kutipan enam mata, sementara Vietnam berada di tangga kedua dengan tiga mata.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan F, Laos meraih kemenangan 2-1 ke atas Nepal di Stadium Nasional Laos sekali gus menghuni tangga ketiga dengan tiga mata, berkongsi kedudukan bersama Vietnam.
Malaysia dijadualkan menentang Laos pada 9 Oktober bagi aksi ketiga Kumpulan F.