KUALA LUMPUR, 11 Jun - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan rasa bangga dan tahniah atas kejayaan Malaysia menewaskan Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Asia 2027 di Stadium Bukit Jalil pada Selasa.
Beliau menerusi laman Facebooknya berkata, kemenangan tersebut sekali gus menamatkan penantian 11 tahun untuk menewaskan pasukan Naga Emas itu.
Katanya, prestasi itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia malah ia menjadi satu memori manis kepada rakyat keseluruhannya termasuk Ultras Malaya dan 61,512 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu di stadium.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski atas kejayaan tersebut.
Skuad bola sepak Malaysia berjaya menewaskan pencabar tradisi paling sukar, Vietnam, dengan kemenangan bergaya 4-0 dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.