(FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 4 Januari- Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menghargai kehadiran lebih 60,000 penyokong yang menjadi tunjang kemenangan pasukan menundukkan Singapura 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam saingan Piala AFF 2022.
Pan Gon menyifatkan perlawanan malam semalam adalah antara persembahan terbaik pasukannya dalam kempen kali ini.
"Terima kasih banyak untuk semua peminat bola sepak Malaysia yang datang ke stadium menyokong kami, ia adalah kuasa besar untuk kami memperjuangkan nama Malaysia.
"Saya sangat bangga dengan semua pemain, mereka berjaya serlahkan potensi mereka,"katanya.
Sementara itu, Stuart Wilkin yang menjaringkan dua gol serta diangkat selaku pemain terbaik perlawanan turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong, pasukan dan latihan keras yang dijalani selama ini.
"Ini adalah malam yang sangat istimewa, semua barisan kejurulatihan, seluruh skuad, penat lelah kami berhasil dan semuanya bersatu malam ini dengan persembahan yang sangat istimewa.
"Aksi yang membanggakan semua , sekali lagi terima kasih kepada semua penyokong,"katanya.
Menang 4-1, Harimau Malaya menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua dengan sembilan mata, ketinggalan satu mata di belakang Vietnam selaku juara.
Selaku naib juara, pasukan negara akan berdepan juara Kumpulan A, Thailand di separuh akhir dengan aksi pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Sabtu ini sebelum aksi timbal balik di Bangkok, pada 10 Januari.
(FOTO BERNAMA)