KUALA LUMPUR, 10 November - Dua pemain Harimau Malaya yang disenaraikan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 terpaksa digugurkan.
Ketua Jurulatih Kebangsaan, Pau Marti Vicente dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua pemain berkenaan digugurkan atas faktor kecederaan.
Menurutnya, pemain terbabit adalah Natxo Insa dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemain pasukan Selangor FC (SFC), Mukhairi Ajmal Mahadi.
Beliau berkata, dua pemain yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini untuk menggantikan mereka.
Vicente berkata, mereka adalah pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Mohamad Fazrul Amir Md Zaman dan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya.
"Fazrul Amir, 24, menggantikan Mukhairi Ajmal dari Selangor FC yang hadir melapor diri, hari ini tetapi terpaksa dilepaskan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan selepas beliau beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024/2025 menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November 2024.
"Sementara Zhafri, 30, menggantikan Insa yang tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/2025 menentang Ulsan HD pada 5 November 2024," katanya.
Beliau mendoakan semoga Mukhairi dan Insa cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.
Harimau Malaya dijadualkan bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November ini dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.