fb fb fb fb fb

Pemantapan program 'Road To Gold' Olimpik LA 2028

Hannah Yeoh (tengah) bergambar bersama atlet-atlet taekwondo di Stadium Titiwangsa /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November - Penambahbaikan program 'Road To Gold' (RTG) menjelang Olimpik Los Angeles 2028 akan diputuskan Khamis ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia bakal dimaklumkan selepas tamat sesi pascanilai Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata, beberapa aspek akan dinilai semula bagi pemantapan program tersebut termasuk penambahan bilangan atlet.

"RTG juga akan bermesyuarat di mana kita akan mempunyai atlet baharu akan masuk kerana sekarang adalah untuk Los Angeles.

"Kita ada ruang untuk tambah atlet..sekarang 10 terbaik, mungkin bagi 2028 20 terbaik. RTG akan bincangkan dan kita akan maklumkan bila ada hasil keputusan selepas mesyuarat," katanya pada sidang media Kejohanan Taekwondo Antara Kelab 2024 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat tersebut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) Khamis ini.

Malaysia menamatkan saingan Olimpik Paris 2024 dengan dua gangsa dari sukan badminton menerusi gandingan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

Trainee