fb fb fb fb fb

Harimau Malaya benam Kemboja 4-0

(FOTO FAM)

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Meskipun tanpa ramai pemain utama, skuad bola sepak kebangsaan lelaki negara mudah menumpaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan selesa di hadapan 8,332 penyokong itu, menyaksikan pasukan negara yang diperkuatkan kebanyakan muka baharu, mengekalkan rekod cemerlang berdepan skuad ‘Angkor Warriors’ apabila memenangi kesemua pertemuan dalam tempoh 50 tahun sejak 1970.

Pasukan negara meledak gol pembukaan pada minit ke-11, menerusi Mohamad Faisal Abdul Halim  sebelum pemain naturalisasi Lee Tuck meletakkan Malaysia 2-0 selepas memanfaatkan hantaran Mohamad Faisal, dalam satu gerakan serangan balas pada minit ke-38.

Ia merupakan gol pertama Tuck pada penampilan sulungnya bersama pasukan negara.

Mohamad Faisal kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadinya pada masa tambahan babak pertama menjadikan Malaysia selesa mendahului 3-0.

Selepas rehat, Kim Pan Gon membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk antaranya Muhammad Safawi Rasid, Mohd Nor Hakim Hassan dan seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero.

Kemboja yang terdesak untuk mencari gol menggandakan usaha dengan melakukan beberapa siri serangan ke kubu Malaysia namun gagal menemui penyudah.

Menghampiri masa penuh, pemain tengah kacukan Malaysia-England Stuart Wilkin melengkapkan kemenangan 4-0 Malaysia selepas meraih gol pertamanya pada penampilan sulung dalam jersi pasukan negara apabila menyudahkan tangkapan kurang kemas Kimhuy pada minit ke-86.

Selain Lee Tuck dan Stuart Wilkin, penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, pemain kacukan Malaysia-Autralia David Rowley, Nur Shamie Iszuan Amin dan Muhammad Aliff Izwan Yuslan masing-masing membuat penampilan sulung bersama pasukan negara.

Pasukan negara seterusnya akan melengkapkan keseluruhan dua aksi antarabangsa Tier 1 bertemu Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Rabu depan sebelum memulakan kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dengan menentang Myanmar di Yangon dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada 21 Disember ini

Malaysia kemudian akan menempuh saingan kumpulan berdepan Laos di Kuala Lumpur pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember  dan melayani kunjungan Singapura di sini pada aksi terakhir kumpulan pada 3 Januari 2023.


(FOTO FAM)

Media Baharu