GEORGE TOWN, 16 September - Kemaraan Penang FC ke suku akhir Piala FA selepas menumbangkan Melaka FC 3-0, menjadi tonik berharga untuk skuad Harimau Kumbang kembali bangkit.
Ketua jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui moral anak buahnya sebelum ini terjejas akibat beberapa kekalahan berturut-turut dalam saingan liga, namun kemenangan itu menyuntik semula keyakinan kepada barisan pemain.
“Memang ada tekanan kerana kita tidak dapat memuaskan pihak pengurusan.
"Selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari, kami telah melakukan post-mortem besar-besaran dan seluruh pasukan berjanji untuk membuktikan kemampuan sebenar," katanya selepas perlawanan berakhir di Stadium Bandaraya di sini.
Janji itu dikotakan dengan mempamerkan persembahan cemerlang sekali gus menjadi titik kebangkitan pasukan.
Beliau berharap momentum itu dapat diteruskan dalam aksi yang akan datang.
Bagi pengendali Melaka FC, K. Devan pula, ketiadaan tonggak di bahagian serangan akibat kecederaan sedikit mengganggu persiapan pasukan.
Hasilnya, prestasi yang kurang menyerlah dalam pertembungan malam tadi.
“Apabila Penang FC menjaringkan gol dahulu ia memberikan kelebihan tiga mata kepada mereka dan semestinya itu menyukarkan laluan kita,” katanya.
Penang FC mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA menerusi kelebihan agregat 5-0.
