KUALA LUMPUR, 16 November - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, yang muncul juara Kumamoto Masters Jepun 2025, sambil menyifatkan mereka sebagai contoh ketabahan dan kekuatan mental atlet negara.
Menerusi kenyataan di laman Instagram beliau, Hannah memuji semangat juang dan perkembangan prestasi beregu nombor satu dunia itu.
“Dua gadis ini memang luar biasa. Mereka terus berkembang daripada satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Mereka menempuh perjuangan peribadi masing-masing untuk kembali gemilang sebagai satu pasangan. Saya sangat teruja melihat perjalanan mereka menuju Olimpik seterusnya. Tahniah” katanya.
Kejayaan Pearly-Thinaah hadir selepas mereka menewaskan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi, dalam aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto sebentar tadi, menang straight set 22-20, 22-20 dalam tempoh 54 minit.
Kemenangan itu turut melakar sejarah sebagai gelaran pertama Malaysia dalam kejohanan tersebut, di samping menjadi kejuaraan ketiga mereka musim ini, menyusul kejayaan di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland.
Prestasi konsisten beregu negara itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara pasangan wanita terbaik dunia, selain mengangkat momentum program Road To Gold menjelang misi kelayakan temasya utama akan datang.