fb fb fb fb fb

Hannah puji kejayaan Pearly-Thinaah di Finland

Thinaah (kiri) dan Pearly menggenggam medal kemenangan di Vantaa /Foto FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji kejayaan diraih gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang mengungguli Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, Hannah meluahkan rasa bangga dan teruja dengan kejayaan tersebut.

“Saya sangat teruja! Pearly dan Thinaah benar-benar menakjubkan apabila berjaya menjuarai acara beregu wanita di Terbuka Artik," katanya.

“Konsistensi mereka adalah kunci kejayaan – inilah kekuatan atlet dalam program Road To Gold yang semakin menyerlah tahun ini. Tahniah dan teruskan bersinar!” tambah Hannah.

Pearly-Thinaah muncul juara selepas menundukkan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7 dan 21-9 di pentas akhir.

Kejayaan itu juga menebuskan kekecewaan beregu wanita kedua dunia itu yang tewas pada edisi lalu kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.

Pearly-Thinaah muncul juara Terbuka Thailand pada Mei selain muncul naib juara pada Terbuka Jepun, Indonesia dan Masters Indonesia.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN