fb fb fb fb fb

Pearly-Thinaah sambar gelaran juara Terbuka Artik

Beregu utama negara, Pearly-Thinaah /Foto FB BAM

VANTAA, 12 Oktober - Beregu utama negara, Pearly Tan - M. Thinaah melakar sejarah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 di Finland.

Pasangan itu menewaskan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7 dan 21-9 hanya dalam tempoh 32 minit pada pertemuan di pentas akhir, sekali gus menamatkan kempen penuh bergaya.

Beraksi di Energia Areena, di sini, Pearly-Thinaah bermula cemerlang dengan permainan pantas dan bertenaga yang memaksa pasangan Jepun melakukan banyak kesilapan.

Di set kedua, gandingan negara terus mengekalkan momentum meskipun berdepan asakan daripada pasukan lawan, sebelum mengesahkan kemenangan.

Dengan kejayaan di Finland, Pearly-Thinaah kini mengukuhkan rekod mereka dalam Jelajah Dunia dengan lima kejuaraan keseluruhan, termasuk kemenangan di Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024, serta Terbuka Thailand 2025.

Malaysia berpeluang menambah satu lagi kejuaraan malam ini menerusi beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang akan turun menentang wakil England, Ben Lane-Sean Vendy di pentas akhir.

Sebagai juara, Pearly–Thinaah meraih hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,543), manakala naib juara, Iwanaga–Nakashini membawa pulang AS$18,050 (RM76,261).

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN