fb fb fb fb fb

Terbuka Artik: Aaron-Wooi Yik naib juara

Aaron-Wooi Yik bangkit di set kedua /Foto FB BAM

VANTAA, 12 Oktober - Impian Malaysia untuk membawa pulang dua gelaran di kejohanan Terbuka Artik tidak kesampaian.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terpaksa akur dengan kekalahan kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, dalam aksi final yang sengit, di sini.

Beraksi di Energia Arena, Aaron-Wooi Yik bermula agak perlahan dengan beberapa kesilapan sendiri yang memberi kelebihan kepada pihak lawan, sekali gus menyaksikan mereka tewas 18-21 dalam set pertama.

Namun, pasangan nombor dua dunia itu bangkit dengan penuh semangat dalam set kedua.

Mereka mendahului 15-11 sebelum pasangan England yang berada di ranking ke-15 dunia memberikan saingan hebat untuk menyamakan kedudukan 21-21.

Dalam situasi tegang, Aaron-Wooi Yik mempamerkan ketenangan dan pengalaman mereka untuk menamatkan set kedua dengan kemenangan 27-25, dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan pertarungan yang cukup sengit.

Meskipun mendahului 11-10 pada pertengahan set, Aaron-Wooi Yik terlepas beberapa mata penting yang memberi ruang Lane-Verdy mengambil kesempatan dan menamatkan aksi dengan keputusan 21-17, elepas pertarungan selama 76 minit.

Kemenangan ini merupakan kejayaan keempat buat Lane-Vendy dalam 10 pertemuan mereka dengan Aaron-Wooi Yik, yang juga merupakan juara dunia 2022 dan pemenang dua pingat gangsa Olimpik.

Sebagai naib juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$18,050 (sekitar RM76,000).

Sementara itu, kem negara tetap mencipta kegemilangan di Vantaa apabila beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, menjuarai kategori mereka.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN